Wednesday, 6 July 2016

Kolonisasi Bulan (Pandangan Masa Depan)


Lukisan konsep bertemakan subjek penempatan manusia di bulan, 1984. NASA


“Pelabuhan manusia ke penjelajahan sistem solar?”

Itu berkemungkinan seperti impian sebuah cereka fiksyen, tetapi pada suatu ketika dulu, ianya hampir menjadi sebuah kenyataan. Projek Apollo, ataupun lebih dikenali sebagai Program Apollo (Apollo Programme)  yang menjadi visi nasional Amerika Syarikat pada tahun 60’an ketika “politik angkasa” yang memperjuangkan idealis nasional dan gagasan politik menjadi era pertunjukan teknologi diantara kuasa Barat dan Orientalis, dimana perbalahan politik mengenai gagasan Barat yang berteraskan kapitalis dan demokrasi, disaing hebat oleh gagasan Orientalis yang berkiblatkan idea sosialisme dan komunisme.



Angkasawan Apollo, Edwin Aldrin menjejak kaki di permukaan bulan, ketika misi pendaratan manusia ke bulan Apollo 11, 1969. NASA.




Kedua-dua negara kuasa besar ketika itu, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, berbelanja besar untuk memenangi pengikut dan menunjukkan kejayaan yang gah mampu dicapai dengan ideologi berbeza dipegang oleh dua negara berkenaan, dengan pencapaian penerokan angkasa lepas sebagai medan pembuktian. Dengan Kesatuan Soviet mencapai pelbagai kejayaan awal dalam pembukaan era baru penjelajahan manusia ke angkasa seperti pelancaran satelit Sputnik pada tahun 1957 dan manusia pertama mengorbit bumi (Yuri Gagarin) pada tahun 1961, membuka mata Amerika Syarikat yang ketika itu bergolak dengan kegagalan mereka untuk meraih kekaguman dunia, akibat kegagalan pelancaran roket dan misi angkasa yang dijadualkan untuk berentap bersama program misi angkasa Kesatuan Soviet. Di sinilah akhirnya, titik tolak manusia menjelajah ke planet lain, yang kedengaran bagaikan mimpi, bermula. Ianya diletakkan diatas nama”APOLLO”.

Daripada tahun 1961 sehingga tahun 1968, Amerika berusaha keras untuk mencipta sistem serta modul yang bersesuaian untuk misi pendaratan manusia ke bulan itu, yang dijangkakan akan mencapai sasaran utamanya sebelum berakhirnya tahun 1960’an. Dalam tempoh yang sama, Apollo turut berjalan serentak bersama program angkasa Amerika yang lain dibawah kendalian NASA, iaitu Projek Mercury dan misi kapal angkasa berkembar Projek Gemini. Kedua-dua misi berkenaan bertindak sebagai analisasi program, penambahbaikan modul serta pengendalian integrasi sistem terbaharu dalam kematangan teknologi yang diharapkan akan membantu Apollo mencapai target utamanya: Pendaratan manusia ke bulan
.

Dipendekkan cerita, Apollo 8 menjadi misi pertama dalam program Apollo untuk mengorbit bulan pada tahun 1968, diikuti dengan kejayaan pertama pendaratan manusia pertama di bulan dengan Apollo 11 pada tahun 1969. Ini diikuti dengan kejayaan yang sama untuk Apollo 12 pada tahun yang sama, serta misi pendaratan bulan yang berikutnya iaitu Apollo 14 dan 15 pada tahun 1971 serta Apollo 16 dan 17 pada tahun 1972.


"The Blue Marble" (Sebuah Marmar Biru), Bumi. Gambar diambil ketika penjelajahan manusia terakhir ke bulan pada Disember 1972 menerusi misi Apollo 17. NASA


Misi manusia ke bulan berakhir apabila Apollo 17 melabuhkan tirainya. Penganalisis berpendapat minat awam terhadap misi Apollo ke bulan sudah hilang kehangatannya, dan program angkasa yang menelan belanja yang tinggi seharusnya dihentikan seberapa segera untuk penumpuan fokus terhadap kewangan dan tenaga kearah permasalahan lain yang berlaku di bumi ini. Ketika itu, banyak visi mengenai penempatan manusia di bulan bermula daripada keperluan strategik militari, kepada pasaran dan potensi kapitalis yang sanggup melabur untuk hartanah lumayan yang berpotensi menjadi tapak persinggahan kumpulan saintis, pengembara daripada golongan berada, badan korporat dan perlombongan deposit tenaga seperti helium, penyemaian ladang tenaga solar yang berkemungkinan membuka peluang baru untuk penjelajahan angkasa dikomersilkan melebihi tahap agensi kerajaan yang terikat dengan sinonim angkasawan dan pengajian sains di persekitaran mikro graviti.


Melalui visi yang dibayangkan oleh aku melalui visual yang dihasilkan ini, berkemungkinan penempatan manusia di bulan kelak akan dijayakan melalui penyatuan umat manusia yang menjurus kepada subjek integrasi visi program angkasa, baik melalui agensi badan kerajaan dan swasta, serta pelabur yang melihat usaha ini sebagai satu insentif ekonomi yang akan menggerakkan mereka untuk turut melabur sebagai peluang untuk perniagaan sektor baru dalam projek berskala besar dan mega sebegini.


Pelabuhan angkasa dan pergerakan ekonomi baru yang berpotensi di permukaan bulan adalah antara plan aku dalam merasionalisasikan pelaburan kerajaan dalam sektor ini.
Antara faedah yang mampu diperolehi berdasarkan usaha ini, jika dipacu secara konsisten mampu memupuk pemain industri global untuk melabur sama dalam memajukan impian sebegini, sekaligus mencipta lebuh ekonomi baru, membuka peluang pekerjaan baru dengan pendapatan yang lumayan seperti “buruh angkasawan” (astroworker), agensi angkasawan swasta, pelancongan generasi baru seperti pelayaran mengorbit bulan dan perhotelan, pergerakan sains- angkasa yang bergerak progresif bersama rakyat, umumnya pembayar cukai dalam melihat pelaburan mereka digunakan untuk sesuatu yang positif untuk masa depan keseluruhan umat manusia dan mengawalselia kemandirian hidupan di muka bumi ini ke suatu tahap yang lebih baik.

Ianya boleh menjadi industri yang lebih menarik daripada sekadar pengajian sains asasi yang terlihat serius untuk keterusan industri berasaskan teknologi tinggi semata-mata.



No comments:

Post a Comment